Memulih gangguan pertuturan
KANAK-KANAK selalunya belajar bercakap secara semula jadi dengan mendengar dan mengulangi apa yang didengar di sekeliling mereka.
Setiap kanak-kanak unik dan mempunyai kadar perkembangannya tersendiri mengikut tahap usia dan kemahiran masing-masing.
Terdapat kanak-kanak pada usia di bawah dua tahun mampu bercakap dengan lancar, tetapi ada juga yang diam dan tidak pandai menyebut walaupun perkataan ma, pa, yang lazimnya menjadi perkataan pertama keluar dari mulut seorang kanak-kanak seusia itu.
Pakar Patologi Pertuturan Bahasa, Jennifer Eileen Peters berkata, selalunya anak kecil yang mencecah usia dua tahun sudah boleh bercakap menggunakan dua suku kata, diikuti tiga suku kata bagi usia tiga tahun dan seterusnya sehingga mereka boleh membina ayat menerusi ayat yang mereka dengar.
Menurutnya, sekiranya didapati anak itu tidak menuturkan sebarang perkataan pada usia dua tahun, kanak-kanak itu mungkin mengalami gangguan pertuturan. Ia boleh disebabkan sama ada perkembangan yang tidak mencukupi atau akibat kemalangan (lazimnya terjadi pada orang dewasa).
Menurut siswazah University of Reading, United Kingdom ini, masalah tersebut akan berterusan sepanjang hidup seseorang, tetapi tahap gangguan itu mungkin berubah dan menjadi lebih baik dengan syarat dia diberi rawatan awal dan tepat untuk menggalakkan pemerolehan pertuturan.
Gangguan pertuturan ini boleh berlaku tanpa mengambil kira faktor-faktor sosial, kaum, pendidikan, budaya atau ekonomi. Namun, ada faktor yang sama iaitu kesukaran berkomunikasi melalui bahasa.
Bahkan tiada bukti yang menunjukkan bahawa gangguan pertuturan ini diwarisi, tetapi ia kerap berlaku dalam keluarga yang sama, katanya ketika ditemui di kliniknya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Beliau yang membuka Pusat Terapi Bahasa dan Pertuturan di kediamannya memberitahu, kebanyakan pesakitnya terdiri daripada kanak-kanak yang berumur tiga hingga 14 tahun.
Selalunya saya akan menjalankan penilaian terhadap keseriusan gangguan pertuturan yang dialami seseorang pesakit itu sebelum membuat sebarang terapi.
Bagaimanapun, ibu bapa perlu memain peranan penting dalam memastikan gangguan pertuturan itu dapat dihilangkan sebelum kanak-kanak itu memasuki alam persekolahan.
Biasanya dalam terapi, saya akan menyuruh ibu bapa duduk sekali di dalam bilik terapi bagi melihat bagaimana kaedah yang dijalankan ke atas anak mereka supaya boleh dipraktikkan di rumah, kata ahli kepada Persatuan Pertuturan Bahasa dan Pendengaran Malaysia (MASH).
Jelas Jennifer, duduk bersama ini memberi peluang kepada ibu bapa mempelajari kenapa anak mereka bertindak sedemikian dan bagaimana ibu bapa harus bertindak balas.
Sekiranya ibu bapa enggan duduk bersama, mereka boleh melihat proses menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) di luar bilik terapi.
Bagaimanapun, ibu bapa terlebih dahulu akan diberi penerangan selama 10 minit mengenai kaedah yang boleh dilakukan di rumah bagi membantu kanak-kanak ini.
Saya akan memulakan dengan penilaian ke atas skil kanak-kanak tersebut, kemudian sesi dengan penggunaan barang permainan dan gambar-gambar. Terapi ini akan dijalankan selama 45 minit, seminggu sekali.
Apabila terapi bermula, kita akan melihat kanak-kanak itu mula membuat perangai, namun saya sentiasa memberi motivasi. Semua permainan dalam bilik terapi ini digunakan sebagai hadiah kepada kanak-kanak itu.
Saya akan beritahu mereka bahawa setiap patah perkataan yang diucap, mereka boleh bermain dengan barang permainan tersebut, katanya.
Pakar yang telah berpengalaman lebih 14 tahun ini memberitahu, kanak-kanak yang bermasalah ini sering kecewa kerana tidak dapat menyampaikan mesejnya sehingga menjadi seorang yang pemarah.
Namun, tabiat tersebut akan berkurangan apabila dia berjaya mengatasi kesukaran komunikasinya.
Kadang kala mereka akan menjadi pasif. Mereka tidak akan memulakan interaksi dan hanya akan menanti orang lain menegur mereka.
Mereka tidak cuba berinteraksi dan akan memencilkan diri di dalam dunia mereka sendiri. Kanak-kanak ini akan duduk di depan televisyen dan tidak akan merungut atau berasa gelisah, ujarnya.
Tambah beliau, bagi menangani masalah ini, ibu bapa harus selalu bercakap dengan kanak-kanak ini.
Cakap tentang dirinya, dunia di sekelilingnya dan hargai masa yang diluangkan bersama.
Rutin kehidupan harian yang biasa adalah sumber terbaik boleh digunakan ibu bapa dan guru dalam pembentukan bahasa seorang kanak-kanak yang mempunyai gangguan pertuturan.
Semasa melakukan ini, sentiasa beringat untuk memberikan masa yang secukupnya kepada anak untuk memberi gerak balas yang mungkin dalam bentuk bahasa atau sebaliknya. Yang penting jangan mengkritik anak kerana kritikan bukan satu motivasi, katanya.
Bagi memberi panduan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang tidak berupaya berkomunikasi dalam usia yang sepatutnya, Jennifer menghasilkan buku bertajuk Making Chatter Matter - Understanding Language Impairment Within a Multilingual Environment , yang dilancarkan Disember 2006 dan terjemahan dalam bahasa Malaysia pada Ogos tahun lalu.
Buku tersebut berharga RM39.90 (bahasa Inggeris) dan RM32.90 (bahasa Malaysia).
Menurut Jennifer, buku tersebut membolehkan orang ramai memahami masalah sebenar dan cara terbaik untuk membantu anak yang mempunyai masalah dari segi komunikasi dan bahasa. Untuk ibu bapa yang ingin mendapatkan rawatan pakar bagi mengubati anak yang menghadapi gangguan pertuturan ini bolehlah menghubungi Jennifer di talian 03-42527611 atau melayari carespeech@yahoo.com.
Tip galakkan anak berkomunikasi
- Berikan pilihan dengan memegang permainan atau makanan kegemarannya di kedua-dua belah tangan. Nantikan permintaan kanak-kanak itu untuk satu daripada barangan tersebut.
- Susun semula persekitaran seperti permainan dan makanan kegemaran supaya tidak dapat dicapai dengan sendiri. Pastikan kanak-kanak itu boleh melihat barang itu dan membuat permintaan.
- Lakukan sesuatu di luar jangkaan seperti menyarung kasut kanak-kanak tersebut. Tunjuk ke arah kasut itu dan lakukan isyarat supaya dia boleh menyebut kasut dan selepas itu tanya kasut siapa, emak, ayah, adik, atau nama kanak-kanak itu.
- Jangan beri sesuatu sebelum dia meminta.
- Lakukan kesilapan atau sebut sesuatu yang tidak betul dengan sengaja dan perhatikan sama ada kanak-kanak itu menyedari kesilapan anda, jika tidak menyedari, beritahu dan galakkan membuat pembetulan.
- Gunakan ayat yang ringkas, pendek dan jelas.
- Baca kepada kanak-kanak setiap hari sama ada di sekolah atau di rumah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz3ELUkUunk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Terapi pertuturan
Oleh Amir Hamidi
8 Ogos 2009
Ashraff dengan alat bantuan pendengaran masuk ke unit terapi pertuturan di HUKM.
Anak penulis, Ashraff Eidris akhirnya memakai alat bantuan pendengaran. Ia merupakan sebahagian daripada nasihat dan cadangan doktor pakar telinga (ahli audiologi) di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Oleh sebab anak penulis merupakan warga Pekak yang dikategorikan daripada jenis "sensorineural", alat bantuan pendengaran diperlukan untuk menguatkan keupayaan pendengaran anak tersebut walaupun penulis sendiri tidak pasti dengan keberkesanan kaedah tersebut.
Isteri penulis giat menyelidiki dan menimbangkan setiap kaedah untuk memastikan perkembangan kognitif dan bahasa anak penulis dapat dirangsang. Kaedah itu termasuklah kemahiran bertutur dan kemahiran komunikasi seperti bahasa isyarat.
Hampir setiap minggu Ashraff dibawa ke HUKM dan Hospital Putrajaya untuk menjalani terapi pertuturan seperti biasa. Sebagai permulaan, dalam terapi pertuturan itu isteri penulis didedahkan kepada pelbagai kaedah yang menjurus kepada bimbingan pertuturan dan pendengaran yang perlu diaplikasikan di rumah.
Penulis agak kurang peka kepada perkembangan ini namun setiap usaha isteri penulis akan disokong sepanjang membesarkan anak-anak penulis. Isteri penulis berharap agar Ashraff akan mempunyai daya untuk bertutur dan membaca gerakan bibir sebagaimana yang telah berjaya dikuasainya dengan bimbingan bapanya.
Sewaktu zaman persekolahan, penulis pernah menerima sumbangan alat bantuan pendengaran daripada Badan Amal Isteri-isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (BAIDURI) yang dipengerusikan oleh YM Puan Sri Raja Noora Ashikin bt Raja Abdullah, isteri kepada Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Bagaimanapun alat bantuan tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan oleh ketiadaan latihan pertuturan yang diadakan sebagai tindakan susulan pada masa itu. Penulis lebih didedahkan kepada kemahiran komunikasi dalam bahasa isyarat dan terlalu lama tinggal di asrama sejak kecil lagi.
Oleh yang sedemikian, ia barangkali menjadi keazaman dan kehendak isteri penulis untuk menggunakan dan mencuba kaedah bimbingan kanak-kanak Pekak yang akan berbeza dengan apa yang pernah penulis harungi dan dianggap ketinggalan zaman.
- See more at: http://www.amir-hamidi.name.my/layar.php?mukasurat=gebang_kopi&info=ashraff&bahasa=my&artikel=2009_ashraff_terapi#sthash.pmGy9a70.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan